suria

Pasukan Kerjasama M'sia-China Tetapkan Piawaian Kandungan Nitrat Dalam Sarang Burung

BEIJING: Malaysia dan China akan bekerjasama menyelesaikan isu berhubung pengeksportan sarang burung secepat mungkin, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow berkata satu pasukan kerjasama yang mengandungi pegawai dan pakar Kementerian Kesihatan kedua-dua negara ditubuhkan bagi menetapkan piawaian kandungan nitrat dalam sarang burung.

Kementerian Kesihatan Malaysia berharap bahawa piawaian itu akan diselesaikan menjelang Disember, kata Liow kepada pemberita berhubung perjumpaannya dengan Menteri Kesihatan China Dr Chen Zhu berhubung isu sarang burung, awal Selasa.

Liow berkata kementerian kesihatan kedua-dua negara bersetuju dengan kenyataan bahawa sarang burung mentah kebiasaaannya mengandungi nitrat.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa tiada bahan tambahan nitrat dibenarkan dalam sarang burung," katanya.

Liow berkata misi pasukan itu ialah untuk menetapkan piawaian mengenai paras nitrat dalam sarang burung mentah agar ia tidak menjejaskan kesihatan manusia.

Katanya beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Noraini Othman untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa China bagi menyiapkan piawaian itu secepat mungkin.

Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia Datuk Paduka Beh Heng Seong menyambut baik keputusan untuk membentuk pasukan itu.

Katanya pemimpin kedua-dua negara meletakkan kepentingan isu pengeksportan sarang burung Malaysia dan berharap ia membawa harapan kepada 600,000 penggiat industri itu di Malaysia yang terjejas berikutan larangan sementara pengeksportannya.

Beliau berkata penggiat industri itu akan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan akan berusaha bagi meningkatkan kualiti produk itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri China Wen Jiabao berhubung larangan eksport berikutan China tidak bertolak ansur berhubung kandungan nitrat dalam sarang burung semasa lawatan kerja ke Nanning, China pada 21 Oktober.

Kedua buah negara bersetuju untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin dan Liow telah dilantik untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa China. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain