suria

Nelayan Warga Myanmar Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh

TELUK INTAN: Seorang lelaki warga Myanmar yang bekerja sebagai nelayan, ditemui mati dengan kesan cedera di belakang badan akibat ditetak objek tajam, dipercayai dibunuh, di Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata mayat Hla Khin, 35,ditemui rakan senegaranya, yang berjanji untuk bertemu dengan mangsa, terbaring di tepi jalan berlumuran darah, sebelum menghubungi polis.

Beliau mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan, katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam kejadian berasingan, Goh berkata polis sedang mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kes empat sekeluarga cedera diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang, yang dipercayai berpunca daripada perebutan harta, di Kampung Telok Kumpol, Hutan Melintang dekat sini Ahad lepas.

Beliau berkata dalam insiden 10.30 malam itu, selain menyebabkan seorang anggota keluarga tersebut cedera parah, penyerang melarikan barang kemas, wang tunai serta telefon bimbit milik mangsa, yang kesemuanya bernilai lebih RM10,000.

Ketika kejadian, mangsa yang hanya dikenali sebagai Letchumanan, 56, bersama beberapa anggota keluarga, termasuk dua wanita, sedang berehat di rumah mereka sebelum seorang anggota keluarganya datang bersama kira-kira 20 individu dengan menaiki motosikal.

Goh berkata sebaik mangsa membuka pintu, kumpulan itu menyerang keluarga Letchumanan, menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah mereka melarikan diri.

Beliau berkata semua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Teluk Intan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian tersebut agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di talian 05-6299222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain