suria

Najib Harap Arab Saudi Jadi Wadi Kestabilan Dunia Islam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Arab Saudi dapat memainkan peranan sebagai wadi kestabilan bagi dunia Islam.

Perdana Menteri menyatakan demikian ketika merujuk kepada pergolakan yang melanda Asia Barat akhir-akhir ini dalam perbualan telefon beliau dengan Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud pada Isnin.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri di sini, Selasa, perbualan antara Najib, yang menginap di Istana Tetamu Mina, dan Raja Abdullah berlangsung selama 25 minit bermula 7.45 malam waktu tempatan pada Isnin.

Najib turut melahirkan penghargaan kepada Raja Abdullah kerana Arab Saudi sentiasa menyediakan kemudahan kepada jemaah haji untuk beribadat dengan selesa, selamat serta berada dalam keadaan terkawal.

Perdana Menteri turut mendoakan semoga Raja Abdullah dilanjutkan usia serta dipelihara kesihatan untuk terus memimpin bukan sahaja kerajaan Arab Saudi, malah dunia Islam seluruhnya secara berwawasan dan berkesan, menurut kenyataan itu.

Raja Abdullah pula dalam perbualan balasnya memuji sikap, perwatakan serta imej jemaah Malaysia sebagai kumpulan haji yang terbaik saban tahun.

Menurut kenyataan itu, Raja Abdullah juga menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Najib dalam menerajui Malaysia, dan berharap agar Perdana Menteri dapat terus memakmurkan negara bagi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam perbualan itu, baginda menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin yang berjiwa Islam, dan menganggap beliau sebagai sahabat dan saudara.

"Raja dan pemimpin bumi Anbiya' itu turut mendoakan semoga Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta seluruh rombongan memperolehi haji mabrur," menurut kenyataan itu.

Ini merupakan perbualan telefon kedua antara Najib dan Raja Abdullah, selepas Perdana Menteri awal tahun ini menelefon pemimpin Arab Saudi itu dari Kuala Lumpur bertanya khabar mengenai kesihatan baginda yang menjalani rawatan di Amerika Syarikat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain