suria

Najib Dan Pemimpin Islam Dirai Putera Mahkota Naif

MINA: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menghadiri majlis makan malam anjuran kerajaan Arab Saudi di Istana Mina di sini pada Isnin.

Perdana Menteri bersama pemimpin Islam lain, yang berada di Tanah Suci bagi mengerjakan iabdah haji, diraikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi Putera Mahkota Naif Abdul Aziz.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada majlis itu, Jamil Khir diberi penghormatan untuk berucap dalam bahasa Arab bagi mewakili kerajaan dan umat Islam Malaysia.

Akhbar Arab News pula melaporkan bahawa Putera Mahkota Naif dalam ucapannya pada majlis itu meminta pemimpin dan umat Islam bersatu dalam mencari penyelesaian terhadap krisis yang dihadapi dunia Islam pada masa ini.

"Cabaran yang semakin bertambah menghendaki kita memikirkan tentang ancaman yang kita akan hadapi di masa depan.

"Kita harus sedar bahawa sebarang perbalahan dan pertikaian dalam dunia Islam tidak akan membawa sebarang faedah kecuali perpecahan, kekacauan dan kelemahan," titah baginda.

Mengenai ibadah haji, Putera Mahkota Naif menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi amat mengambil berat mengenai perkhidmatan kepada semua jemaah khususnya dalam soal kesihatan dan keselamatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain