suria

Monorel Pelancongan Sungai Melaka Dijangka Beroperasi Semula Awal Disember - Ketua Menteri

MELAKA: Monorel pelancongan Sungai Melaka yang perkhidmatannya digantung sejak Sabtu lepas dijangka kembali beroperasi pada awal Disember setelah beberapa masalah teknikal pengangkutan itu diatasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata pengendali monorel itu, Taming Sari Sdn Bhd akan memenuhi cadangan aspek keselamatan dan fasiliti sebagaimana dikemukakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang menggantung perkhidmatan monorel itu.

"Jika tiada aral, semuanya akan dapat diselesaikan dan perkhidmatan monorel akan beroperasi seperti biasa pada awal bulan depan (Disember)," katanya kepada pemberita selepas meninjau stesen monorel itu di Taman Rempah dekat sini.

Ketua Pegawai Operasi SPAD Azhar Ahmad pada Sabtu lepas berkata monorel pelancongan itu digantung untuk suatu masa yang tidak ditetapkan bergantung kepada pengendali monorel itu memenuhi beberapa aspek keselamatan dan fasiliti yang dicadangkan SPAD.

Antaranya ialah menyediakan sebuah kenderaan berkren yang dikenali sebagai "cherry picker" untuk mengangkut penumpang yang terkandas sekiranya monorel itu tidak dapat bergerak selain menyediakan manual fungsi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan memperkuatkan cengkaman tayar pada monorel melalui jajaran laluan pada waktu hujan.

Mohd Ali berkata "cherry picker" berkenaan akan diperoleh daripada pihak pembekal dari China manakala manual fungsi itu sudah berjaya disiapkan.

"Saya juga mahu laporan harian mengenai perkembangan kerja-kerja pembaikan monorel ini," katanya.

Pada 1 November lepas, dua pelancong Britain melalui detik cemas dibawa turun melalui tangga setinggi lima meter selepas terperangkap selama 20 minit di dalam gerabak apabila perkhidmatan itu terhenti secara tiba-tiba kerana kerosakan teknikal pada pam pintu.

Monorel pelancongan berharga RM15.5 juta bagi laluan sejauh 1.6 kilometer menghubungkan Stesen Hang Jebat di Taman Rempah dan Stesen Hang Tuah di Jalan Bunga Raya.

Projek itu dilancarkan pada 20 Oktober tahun lepas oleh Ketua Menteri sempena perisytiharan Melaka sebagai negeri maju 2010 dan kira-kira 16,000 penumpang telah menaikinya sehingga kini.

Sementara itu, Azhar ketika dihubungi hari ini berkata berkata jurutera SPAD dan Prasarana KL Monorail akan memeriksa aspek keselamatan serta fasiliti sistem kecemasan sebaik pemakluman bersedia oleh pihak Taming Sari. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain