suria

KPT Mahu Pelajar Malaysia di Indonesia Sentiasa Utamakan Keselamatan Diri - Khaled Nordin

PETALING JAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menasihati semua pelajar Malaysia yang berada di Indonesia sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan diri masing-masing bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kematian pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira,23, yang maut selepas dibunuh ketika cuba menghalang seorang lelaki daripada mencuri motosikalnya di Lowokwaru, Kota Malang malam Isnin.

Pada masa yang sama Khaled memaklumkan bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menuntut siasatan rapi dan terperinci daripada pihak berkuasa Indonesia berhubung kejadian tersebut.

"Pihak kementerian telah menyatakan hasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Indonesia agar dapat menjamin keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia.

"Kita juga menuntut supaya siasatan rapi dan terperinci dijalankan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Dalam kejadian tersebut, Pereira, pelajar tahun tiga jurusan perubatan, Universiti Brawijaya maut di hadapan rumah sewanya selepas lehernya dikelar dengan senjata tajam oleh pencuri yang cuba melarikan motosikalnya kira-kira pukul 7 malam.

Mohamed Khaled turut melahirkan rasa kesal serta simpati dengan tragedi yang berlaku itu kepada pihak Kedutaan Indonesia di sini.

"Sesungguhnya ini merupakan kejadian yang tidak disangka-sangka hingga menyebabkan kehilangan nyawa mendiang. Pihak kementerian ingin turut mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang atas kejadian yang berlaku," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa KPT akan menanggung segala kos perbelanjaan untuk membawa pulang mayat mangsa ke tanah air.

“KPT dalam usaha untuk mengurus dan membawa mendiang pulang untuk disemadikan di Malaysia.

“Adalah diharapkan bahawa bantuan ini sedikit sebanyak akan mengurangkan beban yang sedang ditanggung oleh keluarga mendiang, disamping memastikan agar usaha penyemadian dapat diuruskan dengan sempurna,” katanya lagi.

Menurut beliau, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab pihak kementerian dalam memastikan keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara termasuklah di Indonesia.

“Saya juga ingin menasihatkan semua pelajar Malaysia di Indonesia agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan masing-masing sepanjang berada di sana untuk mengelakkan daripada kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Untuk rekod terdapat kira-kira 6,814 pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia ketika ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain