suria

Kerajaan PAS Kelantan Sedia Timbang Lima Tuntutan KAFA

KOTA BAHARU: Kerajaan PAS Kelantan bersedia menimbangkan lima tuntutan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang dikemukakan menerusi memorandum kepada kerajaan negeri awal bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri Abdul Fattah Mahmood berkata kerajaan turut memberi reaksi positif untuk berbincang dengan pengurusan tertinggi KAFA bagi memenuhi tuntutan itu, termasuk peruntukan kewangan bagi membolehkan persatuan tersebut menguruskan pasukan The Red Warriors musim depan.

"Mengenai surat jaminan RM2.5 juta yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kita sedia bincang mengenai perkara tersebut. Begitu juga mengenai kadar levi, kita minta pihak KAFA menghantar surat kepada Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) untuk dibincangkan oleh anggota lembaga pengarahnya.

"Selain itu, pihak kita juga bersedia untuk berbincang mengenai permohonan KAFA bagi mendapatkan peruntukan kewangan RM3 juta daripada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata perbincangan itu bagi mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi KAFA, termasuk aspek pengurusan kewangan persatuan tersebut. "Soal bantuan kewangan perlu diperjelaskan dengan sebaik mungkin memandangkan bola sepak Kelantan ditadbir oleh individu berlainan (Tan Sri Annuar Musa) dan bukan diterajui pihak kerajaan negeri sendiri.

"Hendak minta duit dengan kerajaan negeri tidak ada masalah, bahkan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiripun menyatakan kesediaan untuk membantu setakat yang termampu... justeru pihak KAFA perlulah membentangkan kepada kita (peruntukan kewangan) dan kita sedia membincangkannya bersama," katanya.

Abdul Fattah mengulas penyerahan memorandum KAFA oleh Ketua Pasukan Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi, yang mengandungi lima tuntutan kepada Nik Abdul Aziz baru-baru ini.

Ia turut menuntut agar tadbir urus PSK dan pemasangan papan skor atau papan keputusan elektronik diserahkan kepada KAFA, selain mempercepatkan proses pengubahsuaian Stadium Sultan Muhammad IV bagi membolehkan ia menjadi tuan rumah Kejohanan Piala AFC yang dijadual berlangsung Mac tahun depan.

Mengenai tuntutan pemasangan papan skor di Stadium Sultan Muhammad IV diserahkan kepada KAFA, Abdul Fattah berkata biarlah kerajaan negeri yang menguruskan projek berkenaan memandangkan pihaknya telah memilih kontraktor berkelayakan bagi melaksanakannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain