suria

Jangan Salahkan Umno Jika Gagal Hantar Pemohonan Pas Media

KUALA LUMPUR: Media alternatif tidak harus menyalahkan Umno sekiranya tidak dibenarkan membuat liputan sempena Perhimpunan Agung parti itu akhir bulan ini, berikutan kegagalan mereka menghantar borang permohonan pas media sehingga tarikh akhir yang ditetapkan, iaitu 31 Oktober lepas.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh berkata pihak Umno memberi layanan yang adil kepada semua media tempatan dan luar negara, termasuk media alternatif, dengan membenarkan pengamal media mengemukakan permohonan rasmi untuk membuat liputan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2011, pada Selasa beliau berkata pihaknya menerima 1,760 permohonan pas media sehingga 31 Oktober.

"Sehingga hari ini, pihak kami masih tidak menerima borang permohanan pas media dari media-media alternatif dan ia akan memberi kesukaran apabila mereka membuat liputan mengenai perhimpunan kelak kerana tidak mempunyai pas media yang dikeluarkan Umno," katanya tanpa mendedahkan media alternatif yang terlibat.

Beliau berkata tahun ini, Umno menyediakan kemudahan audio dan visual yang lebih baik serta lokasi lebih selesa dan luas berhampiran bilik sidang media berbanding tahun sebelumnya, bagi melancarkan tugas pengamal media.

Ab Rauf berkata wartawan, jurufoto dan jurukamera akan turut diberikan jaket khas berwarna biru dan merah dengan mempamerkan logo media yang diwajibkan ketika berada di kawasan perhimpunan agung Umno. Pada mesyuarat hari ini, semua wakil media bersetuju menukar nama lokasi pusat media daripada 'Media Street' yang dicadangkan sebelum ini kepada 'Laman Media'. Mesyuarat itu dihadiri semua wakil media tempatan dan luar negara kecuali Astro Awani.

Perhimpunan Agung Umno 2011 akan berlangsung pada 29 November hingga 3 Disember depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ab Rauf juga berharap media dapat melaporkan berita dengan adil dan tidak memutarbelitkan sesuatu isu yang dibangkitkan pada perhimpunan itu demi kebaikan semua pihak. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain