suria

Beli Kupon Judi RM100 Berpeluang Menang Proton Saga

KUALA LUMPUR: "Beli pertaruhan judi serendah RM100 dan anda berpeluang memenangi sebuah kereta Proton Saga jika kupon anda terpilih dalam cabutan bertuah."

Itulah modus operandi terbaru pemilik premis mesin judi internet yang berjaya dibongkar polis Kuala Lumpur dalam satu serbuan di sembilan premis di Taman Seri Rampai, Setapak di sini pada Selasa.

Pegawai Turus Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) Deputi Supritenden Azman Mohd Isa berkata modus operandi itu dikesan di salah sebuah premis yang cuba menarik perhatian pengunjung memandangkan banyak 'saingan' di kawasan perniagaan tersebut.

"Pemilik premis itu mendakwa ada pelanggan yang berjaya memenangi kereta itu tahun lepas setelah kuponnya terpilih," katanya kepada pemberita di premis terbabit di sini pada Selasa.

Azman berkata seramai 43 pelanggan termasuk seorang polis tentera yang sedang asyik berjudi ditahan dalam operasi yang dijalankan selama dua jam dan berakhir pada pukul 6.30 petang.

"Kesemua pelanggan yang ditahan berumur antara 26 dan 58 tahun. Polis tentera berumur berumur 20-an itu bertugas di Kementerian Pertahanan dan kita akan rujuk kepada jabatannya.

"Turut ditahan sembilan penjaga premis berumur antara 20 dan 30 tahun. Mereka ini termasuk seorang wanita yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya.

Beliau berkata sebanyak 291 mesin judi dan wang tunai kira-kira RM3,000 dirampas dalam operasi yang acapkali diadakan di premis tersebut.

Premis itu berselindung sebagai kedai pemborong dan pengedar makanan basah dan keperluan asas, pusat pakaian sekolah dan alat-alat pengakap dan kafe internet, katanya.

Pemerhatian media mendapati rata-rata pelanggan yang ditahan berpura-pura melayari internet dan aplikasi Farmville dan Facebook bagi mengaburi polis.

Azman berkata polis akan mendapatkan perintah reman bagi kesemua suspek untuk siasatan lanjut dan premis perniagaan itu akan dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain