suria

Belanjawan Selangor: BN Tumpu Bahas Pemungkiran Janji-janji Pakatan Pembangkang

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor akan menumpukan perbahasan mereka kepada isu-isu pemungkiran janji oleh kerajaan pakatan pembangkang yang telah memerintah Selangor selama lebih tiga tahun di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Rabu, kata Ketua Pembangkang Datuk Mohamad Satim Diman. Beliau berkata BN selaku pembangkang di Selangor akan mendedahkan dan membongkar pelbagai isu dan penyelewengan pentadbiran pakatan yang dibentuk oleh PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang telah mengambil alih tampuk pemerintahan negeri selama tiga tahun tujuh bulan sejak 8 Mac 2008. Pakatan pembangkang gagal menunaikan janji-janji dalam manifestonya pada pilihan raya umum ke-12 lepas, yang menekankan antaranya janji-janji untuk mewujudkan pentadbiran berwibawa, bertanggungjawab, telus, cekap, jujur, amanah dan berintegriti tinggi, katanya pada sidang media di sini, pada Selasa. Mohamad Satim berkata kerajaan negeri juga belum menunaikan janjinya untuk menurunkan cukai pintu sebanyak 20 peratus bagi rumah kediaman sehingga sekarang. "Isu cukai pintu merupakan satu perkara yang amat besar kerana 60 peratus daripada masyarakat di Selangor adalah di bandar dan mengapa tidak turunkan cukai di peringkat pihak berkuasa tempatan," katanya.

Mohamad Satim berkata apa sebenarnya program Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilaung-laungkan oleh kerajaan negeri sedangkan selama tiga tahun ini tiada kedengaran pelaksanaan projek rumah kos rendah atau kos sederhana rendah tetapi sebaliknya hanya memberikan kupon RM100 untuk warga emas membeli-belah.

Selain itu, urus tadbir Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut akan dipertikaikan dan sehingga sekarang laporan audit terhadap operasi PKNS yang didakwa menghadapi masalah dan berlaku penyelewengan, masih belum lagi dikeluarkan, katanya.

Menyentuh hasrat DAP untuk mengurangkan saiz perkhidmatan awam bagi mengurangkan belanjawan kerajaan, Mohamad Satim berkata beliau mencabar DAP bersama PAS dan PKR untuk memulakan tindakan mengurangkan jumlah penjawat awam di negeri-negeri yang diperintah mereka seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu.

Mengenai ketelusan, beliau juga berkata sampai sekarang para Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor (JAIS) belum menerima laporan lengkap mengenai pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Gereja Methodist di Damansara Utama, yang menimbulkan kontroversi, Ogos lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain