suria

Muhyiddin Ucap Tahniah Kepada Empat Atlet

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada dua atlet perseorangan negara dan beregu badminton negara yang telah melakar sejarah dalam arena sukan negara.

Atlet tersebut ialah pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David, juara baru badminton remaja dunia, Zulfadli Zulkifli serta beregu Nelson Heg-Teo Ee Yi.

Dalam kenyataan pada Isnin, Muhyiddin berharap Nicol, Zulfadli dan pasangan regu tersebut akan menjadi pencetus kepada lebih banyak kemenangan yang bakal dicipta oleh ahli sukan negara dalam mana-mana pertandingan yang disertai.

"Saya yakin rakyat Malaysia berbangga dengan kejayaan yang dimiliki oleh wira dan wirawati sukan negara. Tentunya tanpa usaha gigih, latihan berterusan, kecekalan jiwa serta kesabaran yang terpaksa dilalui oleh Nicol dan Zulfadli serta Nelson Heg dan Teo Ee Yi kemenangan diperolehi tidak mudah dicapai.

"Tidak dilupakan juga kejuaraan mereka dimungkinkan berkat dorongan serta doa dari ahli keluarga, para jurulatih, pengurus-pengurus pasukan dan semestinya semua peminat sukan," katanya.

Nicol melakar sejarah apabila merangkul gelaran Terbuka Dunia untuk kali keenam berturut-turut di Luxor Theatre, Rotterdam, Belanda selepas mengalahkan musuh tradisinya yang juga pilihan kedua, Jenny Duncalf dari England, semalam.

Ini jelas mempamerkan kewibawaan Nicol yang tiada tolok bandingan dalam arena skuasy dengan menumpaskan Duncalf 11-2, 11-5 dan 11-0 dengan hanya mengambil masa 29 minit.

Malah ia sekaligus meleburkan rekod lima kali yang dipegang oleh lagenda Australia, Sarah Fitz-Gerald sejak 2002.

Sementara, Zulfadli turut mencipta sejarah semalam setelah muncul juara remaja dunia buat kali pertama selepas mengalahkan juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark pada perlawanan akhir Kejohanan Remaja Dunia di Taiwan.

Zulfadli yang juga juara remaja Asia dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan Axelsen 21-18, 9-21, 21-19 dalam masa 50 minit.

Ini juga merupakan kemenangan kedua pemain berusia 19 tahun itu ke atas Axelsen di mana kali terakhir mengalahkannya pada Kejohanan Remaja 2005 di Sweden.

Pasangan beregu Nelson Heg-Teo Ee Yi turut mengikuti jejak langkah Zulfadli apabila memberi kejuaraan berganda kepada negara setelah mengatasi beregu tuan rumah (Taiwan) Po Jui Huang-Chia Lu Yin 21-17, 21-17. BERNAMA

Artikel Lain