suria

Dua Maut Dalam Nahas Jalan Raya Di Pahang

KUANTAN: Seorang pelajar tingkatan empat maut apabila motosikalnya terbabas di Km6 Jalan Pekan-Kuantan dekat Pekan pada pukul 1 pagi Isnin.

Mohd Hannafi Zahari, 16, dari Kampung Ketapang Hilir, Pekan sedang menghala ke Kuantan apabila motosikalnya hilang kawalan lalu terbabas ke tengah jalan dan melanggar pasu bunga Majlis Daerah Pekan.

Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir dan Trafik Negeri ASP Zainalabidin Othman, mangsa meninggal di tempat kejadian.

Dalam satu lagi kemalangan kira-kira 7.20 malam semalam di Rompin, seorang penunggang motosikal Sabri Mohamad, 23, dari Kampung Padang, Rompin terbunuh apabila sebuah kereta dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

Kejadian berlaku di Km53 Jalan Pekan-Nenasi berhampiran Rompin. -BERNAMA

Artikel Lain