suria

Dua Beranak Maut Nahas Jalan Raya

KUANTAN: Dua beranak terbunuh selepas kereta Honda Accord yang dinaiki bersama empat anggota keluarga lain terbabas di simpang Kampung Batu Tanah Merah dekat Jalan Kuantan-Pekan, pada Isnin.

Mangsa yang maut, Yusmawati Mat Yusof, 36 dan anak lelakinya, Ahmad Rizqin Ramli, dua, berasal dari Taman Cenderawasih di sini. Pegawai Penguatkuasa Tadbir dan Trafik Negeri Asisten Supritenden Zainalabidin Othman berkata dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa bersama anggota keluarganya dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Pekan.

Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh besi penghadang jalan.

"Rempuhan itu menyebabkan mangsa dan anaknya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami mereka," katanya ketika dihubungi.

Zainalabidin berkata empat lagi penumpang belum dikenal pasti dan mereka dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan.

Jenazah mangsa turut dibawa ke HTAA untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi urusan pengebumian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain