suria

Cadangan DAP Kurangkan Penjawat Awam Tidak Kena Masa - Fadillah Yusof

KUCHING: Langkah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mahu mengurangkan jumlah penjawat awam bagi meringankan beban kewangan kerajaan adalah tidak tepat pada masanya, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof. Beliau berkata bagi menjayakan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) peranan penjawat awam amat besar dan penting kerana ia melibatkan semua sektor dalam kerajaan.

"(DAP) Cakap memang senang, tapi kerajaan Barisan Nasional (BN) ada rancangan yang perlukan kesinambungan seperti GTP, dan tidak dinafikan ia melibatkan penjawat awam," katanya kepada pemberita ketika mengulas kenyataan Setiausaha Penerangan DAP Tony Pua baru-baru ini bahawa kerajaan parti itu akan mengurangkan penjawat awam dan menamatkan perkhidmatan mereka yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China bagi mengurangkan bajet kerajaan.

Fadillah ketika ditemui selepas majlis penyerahan daging korban di Surau Darul Ibadah Jalan Astana pada Isnin berkata apa yang lebih penting ialah menambah baik peranan serta fungsi perkhidmatan awam sejajar program transformasi yang ingin dilaksanakan kerajaan.

Katanya, kerajaan mengambil pendapat semua pihak dalam melaksanakan program pembangunan negara, termasuk penjawat awam selain sektor swasta dan rakyat secara keseluruhan. - BERNAMA

Artikel Lain