suria

Berhenti Jadi Pensyarah Jika Mahu Berpolitik - Khaled

JOHOR BAHRU: Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Abdul Aziz Bari dinasihatkan meletakkan jawatan jika mahu bercakap atas pentas politik tanpa perlu menunggu keputusan universiti.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Norden berkata universiti adalah institusi yang mengutamakan bidang akademik.

Beliau yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar Mingguan Malaysia, matlamat menjayakan bidang pendidikan memerlukan pencapaian akademik dan keneutralan sebagai keutamaan.

"Saya menasihatkan Abdul Aziz Bari berhenti menjadi pensyarah kalau mahu memilih pentas politik. Jika sudah menyertai ceramah politik yang mengandungi fitnah, tidak perlu menunggu tindakan daripada UIAM lagi.

"Sebaiknya dia terus berhenti dan menyertai parti yang disokong," katanya.

Mohamed Khaled yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang juga sedar Abdul Aziz telah memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana, Johor, pada Jumaat malam tetapi yakin penduduk tidak akan termakan dengan perkara yang disampaikan.

Antara yang hadir adalah ahli UMNO Pasir Gudang yang mahu mendengar hujah profesor itu yang kini dalam siasatan UIAM berikutan kenyataannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain