suria

Sembelih Lembu Mesti Dapatkan Permit Dahulu

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang ingin menyembelih ternakan korban sempena Aidiladha Ahad ini diminta mendapatkan permit daripada pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berdekatan dengan tempat masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin berkata ini kerana di bawah Akta Binatang 1953, semua penyembelihan di luar rumah sembelihan berdaftar perlu mendapatkan permit sembelih daripada pihak jabatan.

"Penyembelihan tanpa permit atau kebenaran bertulis JPV adalah menyalahi undang-undang dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda manakala daging sembelihan boleh dirampas," katanya.

Abdul Aziz berkata pegawai veterinar akan menjalankan pemeriksaan mengejut di semua masjid dan surau serta tempat penyembelihan luar di seluruh negara pada Hari Raya Aidiladha nanti.

"Pemeriksaan ini meliputi permit kebenaran, kebajikan ternakan, penyakit dan keselamatan daging korban yang akan diedarkan," katanya.

Abdul Aziz berkata, permohonan permit bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya boleh dibuat di pejabat JPV Kuala Lumpur di KM 4, Jalan Selar 4, Off Jalan Cheras di mana kaunter akan dibuka esok bermula jam 8 pagi sehingga 2.30 petang.

Beliau berkata, pemohon perlu membawa bersama sijil kesihatan veterinar, yang boleh diperoleh daripada pembekal ternakan. -BERNAMA

Artikel Lain