suria

Reggae Mansion Tetap Pertahan Tindakan Haramkan Pengunjung Dari Tiga Negara

KUALA LUMPUR: Penginapan berkonsepkan hostel, Reggae Mansion tetap mempertahankan pendiriannya yang mengharamkan tetamu dari Malaysia, India dan Timur Tengah mengunjungi tempat tersebut kerana menyediakan hidangan Barat yang tidak sesuai untuk umat Islam.

"Reggae Mansion adalah hostel untuk pelancong antarabangsa dari Barat. Kami menghormati kepelbagaian kaum, budaya, agama dan adat resam mereka," kata pengendali hostel tersebut di laman webnya.

Hostel itu yang turut beroperasi di ibu negara dan Pulau Pinang turut tidak menerima tempahan daripada tetamu berkerusi roda dan berumur lebih 60 tahun.

"Memandangkan Reggae Mansion adalah hostel untuk berparti dan pelancong dengan beg galas, kami mengehadkan umur pelancong kepada 60 tahun bagi memastikan mereka memperolehi tempat yang selesa untuk beristirehat," katanya.

Bagaimanapun, tinjauan The Star mendapati kebanyakan pelancong tidak gembira dengan penjelasan tersebut.

Guru Khas dari Switzerland, Agnes Read, 59, yang kini menetap di Malaysia berkata, pengendali hostel tersebut tidak perlu menetapkan had umur untuk mengunjungi tempat itu.

"Bagi segelintir individu, kehidupan bermula pada usia 60 tahun kerana mereka boleh berehat selepas bersara.

"Hostel itu akan mengalami kerugian jika mengharamkan tempahan pengunjung kepada individu tertentu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan hostel tersebut tidak boleh mengamalkan polisi aparteid.

Beliau berkata demikian dalam Twitternya semalam.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datuk Mohd. Ilyas Zainol Abidin berkata, peraturan yang ditetapkan hostel terbabit adalah luar biasa.

"Mereka patut mengkaji polisinya dan mengikut garis panduan industri tempatan," katanya.

Penginapan yang berkonsepkan hostel antarabangsa itu menggabungkan 4,000 pemilik di lebih 80 buah negara dengan 16 hostel di Malaysia turut tidak bersetuju dengan polisi tersebut.

Reggae Mansion bukan ahli MAH atau hostel antarabangsa.

Artikel Lain