suria

Penguatkuasaan Ditingkatkan Semasa Raya Haji

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan di Semenanjung selama seminggu mulai Selasa lalu ekoran peningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurut kenyataan SPAD, antara tindakan yang diambil ialah menambah bilangan pegawai penguat kuasa di terminal bas selain meningkat aktiviti meronda bagi menghalang operator pengangkutan awam dan pemandu daripada melanggar undang-undang serta menangani aktiviti penjuan tiket secara haram.

"SPAD akan memberi perhatian khusus di kawasan sekitar Pudu Sentral kerana kami menerima aduan tentang bas ekspres ke selatan turut mengambil penumpang di kawasan tersebut yang turut menyumbang kepada kegiatan ulat tiket.

"SPAD juga mahu mengingatkan operator berkenaan bahawa ia berupa kesalahan untuk mengambil penumpang di Pudu Sentral kerana semua bas ekspres ke selatan hanya boleh berlepas daripada Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan," menurut kenyataan SPAD.

Sehingga hari ini, SPAD mengeluarkan notis kepada tujuh operator yang melanggar undang-undang tersebut yang jika didapati bersalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

SPAD turut mengingatkan pengguna pengangkutan awam supaya membeli tiket daripada kaunter tiket yang sah dan bukannya daripada ulat tiket yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah menjual tiket secara haram. BERNAMA

Artikel Lain