suria

Lelaki Nepal Maut Minum Racun Rumpai

BESUT: Seorang lelaki rakyat Nepal yang bekerja sebagai buruh binaan di Pulau Perhentian Kecil di sini, mati setelah dipercayai meminum racun rumpai petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Nor berkata mangsa, Rajendra Rokka, 25, yang bekerja di pulau itu sejak setahun yang lalu meninggal dunia ketika sedang diberikan rawatan di Hospital Besut.

Katanya seorang rakan mangsa yang baru bangun tidur, telah menemui mangsa kesakitan dengan buih keluar daripada mulutnya di satu kawasan semak di belakang bilik rumah pekerja di situ kira-kira pukul 10.30 pagi.

Mangsa kemudiannya telah dibawa oleh rakan-rakannya mendapatkan rawatan ke Pusat Perubatan Pulau Perhentian tetapi beliau dirujukkan ke Hospital Besut.

Bagaimanapun, jelas Noor Zainy, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 2.40 petang ketika sedang diberikan rawatan di hospital itu.

Katanya siasatan awal mendapati kematian mangsa tiada unsur jenayah dan dipercayai akibat meminum racun rumpai setelah sebotol racun berkenaan ditemui di tepi mangsa.

Mangsa yang mempunyai dokumen bekerja yang sah itu dipercayai menghadapi masalah peribadi dengan rakan wanita di negaranya. - BERNAMA

Artikel Lain