Lelaki Mati Lemas Terjun Sungai Padang Terap - Semasa | mStar

Lelaki Mati Lemas Terjun Sungai Padang Terap

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemui mati lemas selepas terjun ke dalam Sungai Padang Terap di sini, apabila tiga anggota polis singgah di rumahnya dalam kejadian di Kampung Longgok Pasir semalam.

Mayat Shazwan Yahya, 31, ditemui kira-kira 10.35 pagi tadi, kata ketua operasi mencari dan menyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak Muhamad Mahayudin ketika dihubungi.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat dimulakan kira-kira 3 petang semalam namun dihentikan empat jam kemudian ekoran keadaan gelap.

"Operasi disambung semula 9.20 pagi tadi sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira sejam kemudian," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan anggotanya ke kampung berkenaan setelah menerima panggilan daripada seorang wanita yang meminta bantuan berhubung kejadian amuk.

Beliau berkata mangsa bertindak melarikan diri ke belakang rumah dan terjun ke dalam sungai apabila anggota polis terbabit tiba di rumahnya.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa Asma Shaari, 61, berkata sebelum kejadian, anak bongsunya itu sedang mengopek kelapa di halaman rumah sebagai persediaan untuk memasak juadah sempena sambutan Aidiladha Ahad ini.

"Masa tu makcik ada di dalam rumah, Dekwan (panggilan untuk Shazwan) tengah kupas kelapa di luar. Makcik dengar bising-bising di luar macam ada orang tengah sembang.

"Bila makcik keluar Dekwan dah lari dan ada orang beritahu dia terjun sungai," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Asma berkata sungai itu terletak kira-kira 500 meter dari belakang rumahnya.

"Makcik dah tak fikir lagi untuk sambut raya. Hancur luluh perasaan makcik bila menatap jenazah Dekwan," katanya yang tidak pasti punca Shazwan bertindak sedemikian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lelaki Nepal Maut Minum Racun Rumpai

Artikel Berkaitan

Artikel Lain