suria

Kesatuan Ummah Perlu Dipertahan Sebagai Tunjang Kekuatan Islam:Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata umat Islam perlu terus mempertahankan kesatuan ummah yang merupakan tunjang kepada kekuatan Islam.

Perdana Menteri berkata banyak perkara dapat dilakukan apabila kesatuan dapat diwujudkan dalam kehidupan umat Islam selain kekuatan yang ada boleh dipertahankan jika kesatuan ummah berdiri kukuh sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Walaupun terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan negara, umat Islam adalah umat yang satu di mana sahaja mereka berada," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Menyifatkan kesatuan ummah merupakan pengajaran terpenting yang terkandung dalam sambutan Aidiladha, Najib berkata, perintah Allah S.W.T yang mewajibkan semua umat Islam yang melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat dengan niat yang satu dan mengucapkan ucapan talbiah, tahmid dan zikir yang sama, jelas menunjukkan bahawa umat Islam adalah umat yang bersatu.

"Ia adalah umat yang bersatu dengan menghadap satu kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu iaitu Allah S.W.T, maka sudah sewajarnya kita melahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana mengurniakan kepada kita perayaan Aidiladha dengan syariatnya yang jelas membawa mesej kesatuan umat adalah tunjang kepada kekuatan Islam," katanya.

Perdana Menteri berkata konsep kesatuan dan kesamaan sememangnya amat penting dalam Islam untuk membina kasih sayang dan silaturahim sesama umat, sepertimana yang telah diingatkan oleh Rasulullah S.A.W. ketika Baginda menyampaikan khutbah wada' (perpisahan) di bumi Arafah 1,400 tahun yang lalu, di mana Baginda bersabda bahawa semua manusia adalah sama disisiNya, melainkan dengan taqwa.

Najib berkata dengan ekonomi negara yang semakin berkembang dan kehidupan boleh dijalani dalam suasana aman damai, masyarakat seharusnya bersyukur dan bersama-sama mengagungkan Allah, di mana dengan demikian mereka akan dapat beramal dan melaksanakan tugas harian dengan lebih sempurna.

Sempena sambutan Aidiladha pada Ahad, Najib turut mengingatkan rakyat agar membelanjakan harta benda dan wang ringgit dalam batas yang sewajarnya serta melakukan ibadah korban pada tanggal 10 hingga 13 Zulhijah.

"Ia merupakan tanda kesyukuran kita kepada Allah S.W.T. serta sama-sama dapat membantu orang lain khususnya fakir miskin dalam menikmati daging korban tersebut," kata Najib yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Malaysia dan di mana jua berada.

Perdana Menteri bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor yang kini sedang mengerjakan haji di tanah suci turut menyarankan agar sambutan Aidiladha esok dapat diraikan melalui semangat 1Malaysia yang turut memperlihatkan kepentingan nilai-nilai pengorbanan untuk agama, bangsa dan negara.

"Di tanah suci ini juga, saya mendoakan kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia dan turut mendoakan agar kita di beri kemurahan rezeki bagi membolehkan ekonomi diri, keluarga dan negara terus berkembang dan negara kita kekal dilimpahi kemakmuran," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain