suria

Kastam Rampas Dadah Bernilai RM4.6 Juta Di LCCT dan KLIA

SEPANG: Kastam Diraja Malaysia berjaya merampas syabu seberat 18.21 kilogram bernilai RM4.6 juta dalam kes berasingan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tiga hari lepas.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M.Govinden berkata rampasan terbaru ialah di LCCT semalam di mana syabu seberat 7.06 kilogram bernilai RM1.77 juta dirampas daripada seorang lelaki warga India.

Beliau berkata imbasan yang dilakukan terhadap beg lelaki berusia 31 itu di cawangan pemeriksaan penumpang pada kira-kira 1.45 pagi menunjukkan imej yang mencurigakan dan setelah dibuka terdapat tujuh keping alas kaki dan beberapa helai pakaian.

"Setelah alas kaki dan kemudiannya kertas karbon itu dipotong, akhirnya didapati di dalamnya terdapat serbok kristal putih dan setelah ujian dijalankan menunjukkan ianya dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata lelaki itu kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Govinden berkata dalam kes kedua, syabu seberat 10.6 kilogram bernilai RM2.65 juta ditemui dalam dua buah bagasi yang tidak diambil oleh penumpang di KLIA pada kira-kira 10.30 malam, 1 Nov lepas.

"Hasil semakan mendapati ianya kepunyaan dua warganegara Nigeria," katanya.

Bagi kes ketiga juga di KLIA, Govinden berkata syabu seberat 0.550 kilogram bernilai RM137,500 ditemui dalam "batang pemegang besi" dalam dua bagasi milik seorang lelaki warga Nigeria berusia 25 tahun.

"Syabu turut ditemui di dalam ruangan sulit beg tersebut. Pihak kastam kini menahan reman beliau untuk disiasat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kastam Diraja Malaysia bersetuju dengan keputusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang mahu menarik balik kemudahan pas pelawat bagi mengelakkannya daripada disalahgunakan termasuk untuk penyeludupan dadah.

Beliau berkata pihaknya telah diberitahu keputusan tersebut oleh MAHB baru-baru ini dan menurutnya keputusan MAHB itu dijangka dikuatkuasakan dan diumumkan pada pertengahan bulan ini.

Katanya pas pelawat itu membolehkan individu yang menggunakannya bergerak bebas di dalam kawasan lapangan terbang.

"Pas pelawat tersebut dikeluarkan oleh MAHB dan diberikan antaranya kepada agensi-agensi kerajaan di lapangan terbang, dengan keputusan tersebut ia diharap dapat mengelakkannya daripada di salahguna oleh pihak tertentu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain