suria

Umat Islam Di Beberapa Negeri Berdemo Bantah "Seksualiti Merdeka"

KUALA LUMPUR: Umat Islam termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan di beberapa negeri hari ini mengadakan demontrasi membantah program 'Seksualiti Merdeka 2011' selepas solat Jumaat.

Penganjuran program kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), yang telah diharamkan Polis Diraja Malaysia, terus mendapat bantahan pelbagai pihak.

Di GEORGE TOWN, Pulau Pinang, kira-kira 100 orang dari empat buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri itu mengadakan demontrasi secara aman di Masjid Kampung Rawa di sini bagi membantah penganjuran program.

Pertubuhan itu terdiri daripada Badan Anti-Liberalisme Agama (BADAI), Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Pulau Pinang, Persatuan Anak Jati Melayu Negeri (PAJIM) dan Pertubuhan Suara Anak-anak Malaysia.

Setiausaha Agung Badan Anti-Liberalisme Agama (BADAI) Mohamed Hafiz Mohamed Nordin memberitahu pemberita penganjuran program yang diadakan golongan minoriti itu perlu dihentikan kerana ia bertentangan dengan Agama Islam selaku agama rasmi negara.

Sejurus selepas menganjurkan demostrasi secara aman itu, beberapa pemimpin NGO terlibat membuat satu laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Di BALING, KEDAH, lebih 500 umat Islam mengadakan bantahan di Masjid Jamek Kuala Ketil dengan ini membawa poster mengutuk program itu.

Mereka turut meluahkan rasa kesal terhadap penganjuran aktiviti yang jelas bertentangan dengan Islam yang merupakan agama Persekutuan.

Imam II masjid berkenaan, Anuar Halimudin Abu Bakar, 42, berkata masyarakat Islam sangat kesal dengan tindakan itu kerana tiada agama di dunia ini yang membenarkan seks songsang.

"Kita mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkenaan dan mengharamkan sama sekali program itu," katanya kepada pemberita di sini.

Di SHAH ALAM, Selangor, seramai 20 anggota Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) termasuk anggota Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) mengadakan demonstrasi aman di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Presiden Perkid Masridzi Sat berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingin mempromosikan seks songsang seperti Seksualiti Merdeka.

Selain itu, pihak berkuasa hendaklah memantau aktiviti golongan LGBT secara berterusan supaya tidak menular di kalangan rakyat, terutamanya mereka yang beragama Islam, katanya.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman pad asatu sidang media di sini berkata PAS Selangor tidak menerima langsung kegiatan LGBT ini kerana lelaki dan wanita sepatutnya berkahwin bagi memakmurkan kehidupan manusia.

"Kita menyeru semua, lebih-lebih lagi umat Islam, untuk menolak program ini dan memahami bahawa ia tidak ada kena mengena dengan persoalan hak asasi manusia," katanya. Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rizal Abu Bakar dalam satu kenyataan di sini berkata penganjuran aktiviti sebegini sengaja mengundang usaha untuk menongkah norma serta realiti kehidupan beragama yang berlandaskan tatasusila ketimuran seluruh rakyat Malaysia.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay pula meminta pihak penganjur Seksualiti Merdeka menghormati kedudukan rakyat negara ini dengan tidak membawa budaya songsang yang akan menggugat akhlak dan akidah masyarakat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain