suria

Siasatan Pertukaran Saham MAS-AirAsia Perlu Disegerakan - Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata siasatan berhubung perjanjian pertukaran saham antara Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia perlu dilaksanakan secepat mungkin tanpa menjejaskan operasi harian kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan.

"Kalau nak siasat... siasatlah, tapi pastikan janganlah sehingga boleh mengganggu perjalanan operasi harian MAS dan AirAsia," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup di Forum Ekonomi Cina Dunia ketiga di sini pada Jumaat.

"Macam ambil buku akaun berbulan-bulan, sampai tak bagi balik, orang tak boleh beroperasi, susahlah," tambahnya lagi.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu Dewan Rakyat bahawa Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia sudah memulakan siasatan berhubung perjanjian pertukaran saham antara MAS dan AirAsia.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap pertukaran saham antara MAS dan AirAsia, Dr Mahathir berkata beliau menyokong urusniaga tersebut kerana ia memberi nilai tambah kepada MAS.

"Saya hanya mengadu pasal pengurusan sebab MAS selalu rugi sedangkan AirAsia mampu mengurangkan kos begitu rendah sehingga boleh beroperasi. Kalau kos dia (AirAsia) rendah sampai rugi, hari ini syarikat itu dah tutup.

"Jadi ada sesuatu pengetahuan yang ada pada AirAsia yang mungkin boleh diguna oleh pihak MAS," katanya lagi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain