suria

Rayu Atau Tidak AUKU Selepas Bincang Dengan Peguam Negara - Khaled

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sama ada mahu merayu atau tidak keputusan Mahkamah Rayuan, yang menyatakan peruntukan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya dah beri taklimat kepada kabinet. Tindakan selanjutnya, (akan diambil)selepas saya bincang dengan Peguam Negara," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada media pada Jumaat. Mahkamah Rayuan, pada 31 Oktober, memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain