suria

Rasuah Komander Maritim, Peniaga Dipenjara Sehari, Dendea RM55,000

KUANTAN: Seorang peniaga dijatuhi hukuman sehari penjara dan denda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi suapan RM10,000 kepada Komander Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, Ogos tahun lepas.

Ng Kim Heng, 47, didakwa memberi suapan itu kepada Komander Maritim Syd Mohd Fuzi Syd Hasan sebagai dorongan melepaskan sebuah bot tunda 'Cathay 7' dan tongkang CSF 2306 kerana memiliki borang Kastam palsu semasa diperiksa dan ditahan oleh APMM pada 14 Ogos 2010 dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot tunda serta tongkang yang membawa pasir sungai dari muara Kuala Sungai Pahang ke Singapura pada masa hadapan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 11.20 malam di ruang lobi Coffee House, Hotel Swiss Garden Resort di sini pada 16 Ogos 2010.

Hakim Fathiya Idris kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM55,000 atau setahun penjara jika gagal membayar denda itu berkuatkuasa serta merta.

Ng bagaimanapun menjelaskan denda itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinaz Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Goh Kim Lian. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain