suria

PLKN Akan Tubuh Briged Sukarela Hulur Bantuan Kemanusiaan

SEREMBAN: Sekretariat Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan menubuhkan briged sukarela PLKN bagi membolehkan bekas pelatih terlibat dalam bantuan kemanusiaan.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Dr Tiki Lafe berkata menerusi langkah itu, segala kemahiran yang diperolehi bekas pelatih PLKN akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

"Penubuhan briged sukarela PLKN ini akan dibuat dalam masa terdekat dan tugasan pertama mereka ialah mengambil bahagian dalam kerja-kerja menyelamat mangsa banjir yang dijangka berlaku pada musim tengkujuh ini," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Beliau yang ditemui selepas melawat latihan pengendalian senjata pelatih PLKN Kem Krisma di Lapang Sasar Mantin dekat sini, berkata briged itu akan bekerjasama dengan pasukan sukarelawan lain seperti Rela, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan juga pasukan bomba dan penyelamat.

"Dengan adanya briged sukarela PLKN ini, mereka akan bersedia untuk memberi bantuan kepada masyarakat sekiranya diperlukan. Sehingga kini terdapat lebih 500,000 bekas pelatih PLKN," katanya.

Katanya bekas pelatih PLKN yang ingin menyertai briged itu boleh mendaftar di kem PLKN berhampiran. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain