suria

Pergerakan Jemaah Haji Ke Arafah Bermula

MEKAH: Seramai 28,000 jemaah haji Malaysia adalah antara kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia yang mula bergerak menuju ke Arafah kira-kira 20 km dari sini pada Jumaat untuk berwukuf pada hari esoknya, yang merupakan satu daripada rukun dalam ibadah haji.

Pengurus Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji Mohamad Naser Jaffar berkata Tabung Haji menyediakan 700 bas bagi membawa jemaah haji Malaysia secara berperingkat mulai pukul 3 petang (8 malam waktu Malaysia), iaitu selepas solat Jumaat.

"Perjalanan dari kota Mekah ke Arafah dijangka mengambil masa sejam setengah dan kumpulan terakhir dijangka tiba sebelum subuh 9 Zulhijjah, bersamaan 5 November," katanya di sini Jumaat.

Menurutnya para petugas Tabung Haji digerakkan seawal pukul 7.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) bagi memastikan segala persedian awal untuk menerima ketibaan para jemaah haji Malaysia sudah disempurnakan.

Beliau berkata semua kemudahan dan keperluan asas para jemaah seperti khemah, makan minum, peralatan lain serta kemudahan tandas, berada dalam keadaan yang baik.

Sementara itu, tinjauan mendapati suasana jalan-jalan di sekitar kota Mekah sudah mulai sesak dengan bas-bas besar bertali arus, bergerak perlahan-lahan menuju ke Arafah.

Sementara itu, akhbar harian berbahasa Inggeris pada Jumaat memetik beberapa tokoh ulama terkenal termasuk Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh meminta semua umat Islam termasuk para jemaah haji untuk mengelakkan daripada menunaikan kelima-lima solat fardu di Masjidil Haram di Mekah bagi mengurangkan kesesakan di dalam masjid.

"Keseluruhan Mekah dianggap sebagai kawasan tanah haram (tempat suci) dan pahala bersembahyang di mana-mana masjid di Mekah adalah sama dengan bersolat di Masjidil Haram," kata Sheikh Abdul Aziz yang dipetik sebagai berkata akhbar harian Okaz.

Beliau juga tidak menggalakkan para jemaah melakukan Umrah berulang kali dan menyatakannya ia boleh menimbulkan kesesakan teruk dan membahayakan jemaah.

Bagaimanapun, Sheikh Yousuf Al-Qaradawi, Presiden Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menjelaskan bahawa Al Quran menyatakan Masjidil Haram merujuk kepada kawasan Kaabah. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain