suria

Pemberian Biasiswa: Pelajar Gagal Saman Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat membatalkan saman yang difailkan seorang pelajar terhadap Khazanah Nasional Bhd selepas beliau gagal mendapat 'Biasiswa Khazanah-Cambridge' yang ditawarkan oleh cabang pelaburan kerajaan untuk belajar di Universiti Cambridge.

Hakim Datuk John Louis O'Hara memutuskan tuntutan Chan Xian Yao, 19, terhadap Khazanah dan tiga pihak lagi merupakan kausa tindakan yang tidak munasabah, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Khazanah dan tiga pihak lagi untuk membatalkan saman itu. Mahkamah juga memerintahkan Chan membayar kos RM5,000 kepada defendan.

Chan memfailkan saman itu pada 18 Ogos lepas menerusi firma guaman bapanya Chan Chow Wang, yang menamakan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar, pengarahnya Azman Mohd Hussein, Khazanah dan Yayasan Khazanah sebagai defendan.

Chow Wang yang mewakili anaknya, memberitahu pemberita kemudian, beliau akan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan itu. Peguam Nitin Nadkarni mewakili defendan. Dalam saman itu Chan memohon perisytiharan bahawa pemberian Biasiswa Khazanah-Cambridge kepada tiga penerima adalah tidak sah.

Dia juga memohon pampasan dan ganti rugi kerana mengalami perasan malu dan tekanan akibat gagal mendapat biasiswa itu.

Chan, yang ditawarkan tempat di Universiti Cambridge selama empat tahun bagi mengikuti kursus kejuruteraan kimia bermula Oktober tahun ini, mendakwa defendan tidak menjalankan proses pemilihan yang baik atau adil semasa peringkat pemilihan.

Pelajar itu berkata Yayasan Khazanah telah menghantar satu e-mel kepadanya menyatakan dia tidak berjaya dalam permohonannya tanpa sebarang alasan.

Katanya defendan dalam kenyataan akhbar bertarikh 11 Jun lepas telah menyatakan hanya tiga pemohon diberi biasiswa itu tanpa memberi maklumat pemohon itu seperti nama, kursus atau keputusan akademik mereka.

Biasiswa Khazanah-Chambridge ditubuhkan pada 2009 untuk menyediakan penajaan kewangan kepada rakyat Malaysia yang cemerlang dalam bidang akademik yang bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Cambridge. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain