suria

Kumpulan Kecil Pengikut Perkasa Demo Bantah Seksualiti Merdeka Di Hadapan Masjid Negara

KUALA LUMPUR: Walaupun pihak polis telah mengeluarkan arahan mengharamkan pelancaran Program Seksualiti Merdeka tetapi beberapa pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetap mengadakan tunjuk perasaan dan bantahan selepas sembahyang Jumaat. Perkasa yang diketuai oleh timbalannya, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar bersama kira-kira 40 orang anggota pertubuhan itu telah mengadakan demonstrasi aman di hadapan Masjid Negara sejurus selepas selesainya solat Jumaat tengah hari tadi.

Membawa beberapa sepanduk, mereka bergerak lebih kurang 50 meter menuju ke bangunan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk menyerahkan memorandum membantah program itu diteruskan.

Abdul Rahman berkata, program seumpama itu telah mencemarkan kesucian agama Islam dengan mengalakkan orientasi seks bebas dan juga homoseksual.

“Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan dan oleh yang demikian, program yang boleh mencemar kesucian agama Islam harus diharamkan,” katanya lagi.

Kumpulan itu kemudiannya bersurai setengah jam kemudian.

Perhimpunan yang sama anjuran Dewan Pemuda PAS yang pada mulanya dijadualkan berlangsung di Masjid Jamek Kampung Baru telah dibatalkan ekoran keputusan polis untuk mengharamkan program tersebut.

Pada Khamis, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar mengumumkan pengharaman festival itu kerana ia dikhuatiri boleh mencetuskan kekacauan awam dan menjejaskan keharmonian di negara ini.

Seksualiti Merdeka, yang dianjurkan setiap tahun sejak 2008, merancang mengadakan pelbagai aktiviti sehingga 13 November ini di Galeri Annexe, Pasar Seni.

Artikel Berikut

Artikel Lain