suria

Kementerian Pertanian Halusi Punca Kelemahan Untuk Penambahbaikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang memperhalusi punca kelemahan dalam pengurusannya seperti yang disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 untuk tindakan lanjut pembetulan dan penambahbaikan.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Mohd Hashim Abdullah berkata antara langkah pembaikan yang diambil termasuk mengukuhkan peranan Unit Audit Dalaman dengan menjalankan lebih banyak Pengauditan Pengurusan Kewangan dan Pengauditan Susulan terhadap pengurusan kewangan dalam tahun 2011.

Mohd Hashim berkata demikian sebagai mengulas penarafan tiga bintang yang diberikan kepada kementerian itu dalam LKAN 2010 berbanding empat bintang pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata fungsi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun dengan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian juga telah diperkukuhkan dengan mengenal pasti kelemahan dalam pengurusan kewangan mereka.

Katanya jika ada kelemahan dikenal pasti, sesi khas seperti taklimat diadakan bagi tujuan penambahbaikan dan panduan tunjuk ajar akan segera dilaksanakan dan menghantar pegawai menghadiri kursus pengurusan kewangan.

"Dengan mengambil kira semua inisiatif tersebut, saya yakin penarafan empat bintang menerusi LKAN 2011 boleh dicapai oleh kementerian ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, LKAN 2010 melaporkan tiada salah laku yang terjadi di kementerian tetapi terdapat beberapa kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab membabitkan aspek pengurusan kewangan yang berlaku.

"Selepas hasil laporan itu diumumkan, pihak kementerian telah mengambil tindakan pembetulan dan arahan serta-merta telah dikeluarkan bagi membaiki kelemahan yang telah ditegur oleh Jabatan Audit Negara," kata beliau.

Beliau berkata pada masa yang sama, susulan bagi memantau pelaksanaan arahan itu juga telah dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Audit kementerian yang diadakan setiap tiga bulan.

Isu yang disentuh oleh LKAN sebelum ini melibatkan National Feedlot Centre di Gemas yang dilaporkan tidak mencapai sasaran untuk membekalkan lembu yang secukupnya untuk keperluan tempatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain