suria

Cuaca Tidak Menentu Sepanjang Aidiladha

KUALA LUMPUR: Cuaca tidak menentu diramalkan di kebanyakan negeri sepanjang sambutan Hari Raya Aidiladha Ahad ini dengan cuaca baik di kebanyakan negeri pada sebelah pagi manakala hujan serta ribut petir pada sebelah petang dan malam.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata keadaan cuaca yang tidak menentu itu adalah ekoran monsun peralihan yang biasanya dikaitkan dengan hujan atau ribut petir pada sebelah petang.

Beliau berkata keadaan cuaca di kebanyakan tempat pada sebelah pagi dijangka baik, kecuali di beberapa tempat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang yang diramalkan hujan di beberapa tempat.

Sementara itu hujan di satu dua tempat di kawasan pantai diramal akan berlaku di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka manakala hujan sementara di satu dua tempat dijangka di Kudat, Tawau, pedalaman dan pantai barat Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Pada sebelah petang, hampir semua kawasan mengalami ribut petir di satu dua tempat terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak serta pantai barat dan pedalaman Sabah manakala di Sarawak dan bahagian lain Sabah pula diramal akan mengalami hujan sementara di satu dua tempat.

Pada sebelah malam pula beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sarawak serta beberapa kawasan di pedalaman Sabah, seperti Sandakan serta di bahagian pantai barat negeri itu akan mengalami hujan.

Beliau berkata keadaan cuaca yang tidak menentu ini berlaku ekoran monsun peralihan yang biasanya dikaitkan dengan keadaan cuaca yang ada ribut petir atau hujan di sebelah petang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain