suria

Tiga Pemacu Bagi Segi Tiga Pertumbuhan Baru - Abdullah

PETALING JAYA: Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenal pasti kesinambungan, saling hubungan dan masyarakat sebagai tiga faktor penting yang boleh memacu potensi besar China, Asean dan Asia Barat sebagai segi tiga pertumbuhan baharu di rantau ini.

Jambatan telah dibina dan ketiga-tiga faktor ini boleh digunakan untuk mengukuhkan hubungan, kata beliau pada majlis makan malam anugerah Forum Ekonomi Cina Dunia Ketiga di sini Khamis malam.

Beliau berkata Laluan Sutera telah memainkan peranan penting dalam mewujudkan pertumbuhan segi tiga yang pertama yang menyebabkan orang Cina, India, Parsi, Mesir, Arab dan Tamadun Rom berkembang pesat dan meletakkan asas-asas bagi dunia moden.

"Suatu segi tiga yang tidak formal telah muncul berdasarkan pertukaran perdagangan dan budaya melalui hubungan antara ketiga-tiga wilayah - Asia Barat, China dan Asia Tenggara diwakili oleh Melaka pada masa itu," kata beliau.

Bagi mewujudkan segi tiga pertumbuhan baharu dalam ketiga-tiga kawasan itu, beliau berkata, kesinambungan merupakan perkara utama dengan meningkatkan dan memajukan lagi modaliti sedia ada.

"Perdagangan, pelaburan dan kewangan perlu kekal sebagai bahagian penting untuk berdaya tahan dan platform saling memperkaya bagi melancarkan segi tiga pertumbuhan baru," katanya.

Bertukar-tukar pengetahuan, idea dan budaya juga perlu diteruskan bagi mereka mewujudkan persekitaran sosial yang kaya dari mana kejayaan yang lebih lagi boleh berlaku, tambah beliau.

Abdullah juga mencadangkan tiga kawasan berkenaan bergilir-gilir menjadi tuan rumah mesyuarat dua tahun atau tiga tahun sekali untuk membincangkan keperluan dan tawaran yang boleh diadakan.

Mengenai saling hubungan, bekas Perdana Menteri itu menekankan mengenai keperluan pelaburan yang lebih dalam jalan raya, rel, pelabuhan, pengangkutan udara dan telekomunikasi yang penting bagi pertumbuhan dan masyarakat zaman moden.

"Perkembangan tersebut mengambil masa dan kosnya boleh menjadi besar. Negara-negara, sudah tentu, perlu memastikan bahawa mereka menguntukkan sumber dalam negara masing-masing walaupun mereka cuba untuk memperbaiki hubungan merentas sempadan," katanya.

Bagi merealisasikan rancangan itu, beliau berkata, persidangan pengamal dan penggubal dasar peringkat tinggi boleh diadakan untuk membincangkan perkembangan masa kini dan rancangan masa depan, dengan menyebut Dana Infrastruktur Asean sebagai contoh kerjasama itu.

Mengenai masyarakat, Abdullah menekankan kepentingan mewujudkan rasa kepunyaan memandangkan interaksi sosio-ekonomi boleh diwujudkan dalam kalangan rakan dan keluarga daripada kalangan orang yang tidak dikenali.

"Interaksi yang dipacu komersial semata-mata mempunyai kecenderungan menjadi mangsa kepada keadaan yang berubah-ubah sedangkan dengan rasa masyarakat, salah faham dan malah konflik boleh diuruskan dengan lebih baik," kata beliau.

Dalam usaha untuk menggalakkan semangat kemasyarakatan, beliau berkata, pemimpin mesti menunjukkan cara dan contoh untuk ahli perniagaan dan rakyat untuk diikuti. - BERNAMA

Artikel Lain