suria

Teruskan Protes Aman Anda - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam berkata pihaknya tidak akan menghalang piket yang akan diadakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955.

Piket berkenaan dijangka berlangsung pada Khamis dan akan diadakan di beberapa tempat di seluruh negara.

“Ini adalah hak mereka untuk mengadakan demonstrasi. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi kita tidak akan menghalang mereka dengan syarat mereka mengadakan perhimpunan secara aman dan tidak menggangu ketenteraman awam.

“Hakikatnya mereka membuat bantahan kepada isu yang tidak berkenaan. Kedua-dua parti mahu mempertahankan hak masing-masing, namun kita ada persepsi yang berbeza dalam menilainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan pendidikan dan latihan Malaysia-German di sini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor berkata piket untuk membantah pindaan Akta Kerja 1955 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu berkata demonstrasi berkenaan akan diadakan selepas waktu pejabat bermula pada pukul 5 hingga 6.30 petang.

Beliau berkata terdapat 18 lokasi yang telah dikenalpasti untuk mengadakan piket berkenaan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Artikel Lain