suria

Sistem Latihan Dua Nasional Dikaji Semula - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), iaitu konsep latihan teknikal di dua tempat, akan dikaji semula dalam memperbaiki kelemahan pelaksanaannya, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata sistem itu masih belum mencapai kejayaan seperti yang dilakukan Jerman.

"Kita sedang lihat proses yang ada sekarang, meningkatkannya dan buat perubahan untuk pastikan sistem ini capai kejayaan seperti yang ada di Jerman. "Kita harap mereka yang keluar daripada sistem ini akan ada pengalaman dan kemahiran yang tinggi untuk bolehkan mereka berjaya dalam kerjaya mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Pendidikan dan Latihan Malaysia-Jerman yang pertama kali diadakan di sini, Khamis.

SLDN, yang diwujudkan pada 2005, bertujuan melahirkan pekerja berpengetahuan, iaitu 70 peratus latihan di tempat kerja sebenar di industri dan 30 peratus di pusat latihan. Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 1,000 institut latihan vokasional dan teknikal di seluruh negara di mana 48 peratus daripadanya merupakan institut latihan yang dibiayai kerajaan.

Kerajaan membelanjakan RM1.2 bilion setahun untuk menguruskan institut latihan dan RM4 bilion lagi untuk membiayai keseluruhan program latihan, katanya.

Subramaniam berkata pembiayaan itu perlu dikaji semula dengan mengambil kira keberkesanan sesebuah institut latihan berbanding jumlah pengambilan pelajar dan jenis kursus yang ditawarkan.

"Kami sedang mendesak institut ini untuk memberi keutamaan kepada apa yang mereka hasilkan dan indeks pengurusan yang berjaya adalah bagaimana para pelajar menepati kehendak industri, kebolehpasaran pelatih dan apakah gaji yang patut mereka peroleh," katanya.

Sejak 2006 hingga 2010, seramai 25,021 perantis dilatih melibatkan 1,028 syarikat di bawah SLDN. -BERNAMA

Artikel Lain