suria

Siasatan Kes Aziz Bari Selesai, Namun Belum Ada Keputusan - Peguam

PETALING JAYA: Siasatan ke atas pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Abdul Aziz Bari telah selesai bagaimanapun belum ada keputusan dibuat oleh Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan universiti berkenaan.

Menurut peguam Abdul Aziz, Dr Dzulkarnain Lokman, beliau difahamkan Rektor UIAM, Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin sedang berada di Morocco atas urusan kerja dan dijangka akan pulang ke tanah air selepas hari raya haji nanti.

“Setakat ini saya difahamkan siasatan ke atas Abdul Aziz telah selesai, cuma belum ada keputusan yang dimaklumkan kepada pihak kami.

“Mungkin mereka (lembaga disiplin) tunggu Rektor pulang daripada Morocco,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIAM ekoran kenyataan Abdul Aziz yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) baru-baru ini.

Abdul Aziz dilaporkan berkata tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja itu bukan sesuatu tindakan yang biasa terjadi.

Beliau dipetik sebagai berkata, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Ekoran kenyataan kontroversi berkenaan, pihak pengurusan UIAM telah mengeluarkan surat tunjuk sebab dan menggantung tugas pakar perlembagaan itu hingga 24 Oktober atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti.

Bagaimanapun, pihak pengurusan telah menarik balik penggantungan tugas Abdul Aziz melalui sepucuk surat yang difakskan ke pejabat peguamnya pada tarikh yang sama dan beliau diminta melaporkan diri kepada dekan Fakulti Undang-Undang pada 25 Oktober lalu.

Beberapa laporan polis telah dibuat Abdul Aziz dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Senator Ezam Mohd Nor turut menggesa supaya Abdul Aziz disiasat di bawah Akta Hasutan.

Pensyarah kanan UIAM itu juga telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 Oktober lalu.

Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pergi ke pejabat Abdul Aziz Isnin lalu untuk merekodkan kenyataan berhubung isu yang sama.

Artikel Lain