suria

Projek Rumah Terbengkalai: Pemilik Bukit Antarabangsa Lega Isu Selesai

KUALA LUMPUR: Selepas terbengkalai lapan tahun, pemilik rumah kos rendah dan sederhana di Bukit Antarabangsa di sini, menarik nafas lega apabila rumah mereka dijangka siap sepenuhnya Februari depan.

Jaminan itu diberi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung hari ini yang melawat projek perumahan tersebut, yang status pembinaannya antara 51 dan hampir 100 peratus siap.

"Kita berjanji tiga daripada enam blok rumah akan siap dalam masa satu hingga dua minggu dan yang selebihnya akan siap Februari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.

Chor berkata kelewatan itu berpunca daripada masalah kewangan pemaju susulan kejadian tanah runtuh pada Mei 2006.

"Insiden tersebut bukan salah pemaju, tetapi arahan untuk menghentikan kerja dikeluarkan pihak berkuasa tempatan. Pemaju juga menyumbang dana (membaiki cerun di kawasan itu) yang menyebabkan projek tidak dapat diteruskan serta berdepan peningkatan kos pembinaan dan pelbagai masalah teknikal," katanya.

Chor berkata kerajaan memperuntukkan RM80 juta untuk kerja membaiki cerun di kawasan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Rumah Terbengkalai Malaysia Dr Mohamad Rafick Khan Abdul Rahman berkata beliau gembira kerana selepas sekian lama isu tersebut dapat diselesaikan.

"Setelah lama memperjuangkan isu ini akhirnya apabila persatuan berurusan dengan Datuk Chor Chee Heung, kita dapati kerja-kerja pembinaan diteruskan oleh pemaju atas usaha dan tindakan Datuk sendiri," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan agar melakukan sesuatu yang dapat melindungi kepentingan pengguna dalam kes sedemikian, termasuk mengenakan tindakan lebih keras kepada pemaju yang gagal menyiapkan projek.

"Golongan ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dan harus dikenakan hukuman yang lebih berat, bukan sekadar didenda sahaja tetapi perlu dikenakan hukuman penjara sebagai pengajaran," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain