suria

Polis Rampas Pelbagai Jenis Kabel

KANGAR: Polis merampas pelbagai jenis kabel terpakai termasuk yang dimiliki syarikat utiliti dalam serbuan ke atas sebuah premis di Taman Desa Pauh, Arau dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Mohd Nashir Ya berkata, serbuan dilakukan pukul 12.30 tengah hari semalam setelah pihaknya menerima maklumat orang ramai mengenai kegiatan di premis yang dijadikan bengkel memotong kabel itu.

Ekoran serbuan itu, polis dari Pasukan Bertindak Kegiatan Curi Kabel Jabatan Siasatan Jenayah Perlis menahan enam lelaki pekerja di bengkel itu serta seorang lelaki berumur 30 tahun yang dipercayai sebagai penyelianya.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini, beliau berkata dalam serbuan itu, polis menemui kabel-kabel itu yang telah dibuang penyalutnya serta dipotong yang dipercayai untuk dijual kepada pelanggan termasuk kedai besi buruk.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menganggarkan nilai rampasan kabel-kabel berkenaan.

Polis akan meneruskan siasatan untuk mengetahui sama ada kabel-kabel tersebut dicuri dari syarikat utiliti atau berlaku sebarang penyelewengan berhubung pengambilan dan penggantian kabel.

Sejak awal tahun lalu, lebih 60 kes kecurian kabel milik syarikat utiliti telah dilaporkan, kata Mohd Nashir. -BERNAMA

Artikel Lain