suria

Penjara Alor Setar Cipta 'TIS' Kesan Barang Larangan

ALOR SETAR: Penjara Alor Setar mencipta satu alat pengesan dinamakan 'Sistem Pemeriksaan Tektikal' (Techtical Inspection System' -TIS) yang dapat mengesan barangan larangan yang cuba diseludup masuk ke dalam penjara.

Timbalan Pengarah Penjara Alor Setar Bahdun Salleh berkata alat pengesan itu dicipta kumpulan jabatan itu yang menjuarai pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) kategori teknikal peringkat kebangsaan 2011.

Kumpulan itu juga menjuarai pertandingan KIK Perkhidmatan Awam ke-23 negeri Kedah tahun ini.

"TIS dapat mengesan barang-barang yang biasa diseludup seperti dadah, tembakau, telefon bimbit dan rokok termasuk mengesannya dari sudut sukar dicapai seperti dalam siling, longkang tertutup dan bawah kenderaan.

"Jabatan Penjara Alor Setar telah menggunakan TIS dan sangat berpuas hati dengan hasilnya sejak alat itu dicipta Januari lepas," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia ke-162 di Penjara Alor Setar pada Khamis. Bahdun berkata pihaknya menerima banyak tempahan dari penjara lain untuk membeli TIS yang dijual pada harga RM3,300 seunit.

"Jabatan Penjara Alor Setar berbangga kerana TIS dicipta 100 peratus oleh kakitangannya tanpa pelibatan orang luar," katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sijil dan pingat perkhidmatan kepada 24 kakitangan cemerlang dan lama berkhidmat sebagai menghargai sumbangan dan perkhidmatan mereka kepada jabatan. -BERNAMA

Artikel Lain