suria

Peniaga Tidak Patuhi Garis Panduan Menu Rakyat Akan Disingkirkan

MELAKA: Peniaga makanan yang mengikuti Program Menu Rakyat 1Malaysia diingatkan supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka disingkirkan daripada program itu.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri Datuk Ghazale Mohamad berkata antara syarat ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ialah menyediakan makanan berkualiti pada harga RM2 bagi sarapan pagi dan RM4 bagi makan tengah hari.

"Perlu mengikuti program sekurang-kurangnya selama enam bulan, seandainya di dalam tempoh tersebut mereka gagal mematuhi atau melanggari syarat-syarat yang ditetapkan, penglibatan mereka dalam program tersebut akan dibatalkan," katanya ketika melancarkan Program Menu 1Malaysia peringkat negeri di Restoran Berkat, Plaza Pandan Malim di sini, Khamis.

Ghazale berkata pengguna dinasihatkan membuat aduan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Melaka sekiranya mendapati terdapat perlanggaran syarat atau peraturan dilakukan oleh peniaga yang mengikuti program tersebut.

Beliau berkata pemantauan akan dilakukan oleh pegawai PPDNKK dari semasa ke semasa bagi menerangkan konsep program tersebut kepada para peniaga dan pengguna agar dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak. Katanya sehingga kini sebanyak 40 buah restoran dan kafetaria di Melaka telah menyertai program tersebut sejak ia dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 7 Julai lalu. "Kita lihat sambutan daripada pelanggan amat memuaskan dan ini adalah antara usaha kerajaan untuk menyediakan menu makanan yang berharga patut dan bersesuaian dengan kualitinya untuk dinikmati oleh rakyat," katanya.

Beliau berkata PPDNKK Melaka menyasarkan penyertaan sebanyak 80 premis restoran dan kafetaria dalam Program Menu Rakyat 1Malaysia di seluruh negeri sehingga penghujung tahun ini.

Katanya peniaga yang berminat untuk menyertai program tersebut diminta berhubung dengan PPDNKK Melaka di talian 06-2345822, 06-2345825 atau 1-800-886-800. -BERNAMA

Artikel Lain