suria

Pemilik Tanah Di Jalan Inai, Jalan sultan Setuju Kerjasama Dengan MRT Corp

KUALA LUMPUR: Persetujuan yang dicapai antara MRT Corporation (MRT Corp) dan pemilik tanah di Jalan Inai dan Jalan Sultan menunjukkan bahawa sokongan terhadap pelaksanaan projek MRT, yang merupakan pemungkin utama ke arah pencapaian matlamat Greater KL, kini semakin meningkat.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) MRT Corp Datuk Azhar Abdul Hamid berkata komiten berterusan syarikat itu untuk menjayakan rundingan dan menarik pembabitan pihak berkenaan, terbukti berkesan apabila majoriti pemilik tanah bersetuju menandatangani satu memorandum untuk berbincang tentang terma persetujuan bersama itu.

"Kami komited untuk melaksanakan penyelesaian berkesan bagi memenuhi keperluan pemilik tanah di kawasan terbabit. Kami gembira kerana usaha ini mencapai hasil positif, walaupun wujud keraguan pada peringkat awal rundingan.

"Penyelesaian telah ditemui untuk menangani isu melibatkan dua kawasan itu dan kami sedia berbincang dengan peguam mereka untuk meyediakan butiran terperinci tentang persetujuan berkenaan beberapa hari lagi," kata beliau dalam kenyataan di sini.

Isu itu berlarutan selama beberapa bulan selepas para pemilik tanah, termasuk di Jalan Inai, Jalan Sultan dan Jalan Bukit Bintang, menggesa kerajaan menjajarkan semula laluan MRT Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51km itu.

Bagi pemilik tanah di Jalan Bukit Bintang khususnya, Azhar menggesa mereka supaya bekerjasama dengan MRT Corporation untuk mencapai penyelesaian secara baik bagi menjamin kejayaan pelaksanaan projek itu.

"MRT Corp sentiasa bersedia untuk berbincang dan matlamat kami sejak awal lagi ialah untuk meminimumkan pengambil tanah serta mengurangkan masalah yang dihadapi para pemilik tanah terbabit, di samping memastikan mereka menerima pampasan yang sewajarnya berdasarkan nilai pasaran," kata beliau.

Azhar berkata sokongan para pemilik tanah amat penting dalam pelaksanaan projek itu ke arah mencapai matlamat penubuhan Greater KL dan mengemudi Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 bandar raya paling selesa untuk didiami dan bertenaga daripada segi ekonomi di dunia menjelang 2020.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Nur Kamal berkata beberapa perubahan telah dibuat terhadap jajaran dan lokasi stesen MRT yang dicadangkan sebelum ini hasil daripada maklum balas yang diperoleh melalui pameran skim MRT yang diadakan kepada orang ramai dari 14 Februari hingga 14 Mei tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain