suria

Pemerdagangan Manusia: Lima Tangkapan Dibuat Di Tawau

KUALA LUMPUR: Hanya lima tangkapan dibuat berhubung aktiviti penyeludupan manusia di Tawau, Sabah berbanding 174 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata tangkapan yang sering dibuat adalah bagi kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah atau dokumen perjalanan yang sudah tamat tempoh.

"Aktiviti keluar masuk di antara rakyat Malaysia dan Indonesia sering berlaku kerana terdapat juga di kalangan mereka mempunyai hubungan kekeluargaan, jadi tangkapan yang dibuat banyak melibatkan dokumen perjalanan.

"Kesalahan ini dilihat sebagai kesalahan yang bersifat lokaliti sahaja dan tidak melibatkan pemerdagangan orang," katanya menjawab soalan Datuk Seri Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan) pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Abdul Ghafur merujuk kepada laporan polis yang menyatakan bahawa Tawau aktif menjadi pusat transit aktiviti penyeludupan manusia antarabangsa.

Lee berkata kementerian sentiasa memantau keadaan agar keselamatan rakyat Malaysia lebih terjamin dan mencegah kegiatan penyeludupan manusia. -BERNAMA

Artikel Lain