suria

Pelajar Universiti Swasta Maut

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar universiti swasta maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam sebuah kolam takungan di Taman Connaught, Cheras di sini awal pagi Khamis. Joshua Timothy Louis, 19, dari Taman Alam Megah Shah Alam, pelajar Diploma Teknologi Maklumat yang baru lima hari menyambut ulang tahunnya, mati di tempat kejadian dipercayai akibat lemas.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 malam di kolam takungan berhampiran Pasaraya Giant Taman Connaught.

"Mayat mangsa dibawa keluar oleh orang awam dengan dibantu pihak bomba kira-kira pukul 3.31 pagi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)untuk bedah siasat," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya bomba yang menerima panggilan kira-kira pukul 12.49 pagi tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian. Seramai 16 anggota bomba termasuk unit anjing pengesan K9 ditugaskan di tempat kejadian.

Sementara itu, rakan mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Rezwa berkata semasa kejadian Joshua yang memandu berseorangan baru pulang dari bermain futsal di Sunway dan dalam perjalanan untuk menonton bola di sebuah restoran di kawasan berhampiran.

Semasa kejadian, Rezwa yang memandu kereta sendiri mengekori kereta mangsa, berkata semasa di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat kereta Joshua hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan tengah sebelum berpusing dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri jalan.

Kereta yang dipandu Joshua melambung ke atas bumbung sebuah kereta Proton Satria yang baru keluar dari simpang tiga sebelum terjunam ke dalam kolam takungan tersebut.

"Bagaimanapun lelaki yang menaiki kereta Proton Satria itu tidak mengalami sebarang kecederaan," kata Rezwa yang ditemui di tempat kejadian selepas kemalangan malam Khamis. -BERNAMA

Artikel Lain