suria

Mekanisme Akan Tangani Jenayah Siber Akan Diwujudkan - Rais

LONDON: Persetujuan telah dicapai untuk mewujudkan satu mekanisme jaringan antarabangsa yang jitu bagi menangani masalah jenayah siber, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata persetujuan itu dicapai dalam Persidangan London mengenai Ruang Maya yang diadakan selama dua hari dan berakhir di sini Rabu.

"Rumusannya ialah kerjasama dan jaringan antarabangsa antara negara di seluruh dunia perlu wujud dan mekanismenya akan ditentukan dalam urusan rasmi yang lain.

"Jadi dengan itu, dapat dirumuskan bahawa persidangan ini telah membuka mata dunia supaya menentukan bahawa jenayah siber harus ditangani secara bersekutu sama ada di peringkat nasional, wilayah atau antarabangsa," katanya kepada Bernama dan RTM selepas menghadiri persidangan berkenaan di sini pada Rabu.

Rais menghadiri persidangan berkenaan bagi pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Persidangan itu dirasmikan Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel British William Hague. Turut hadir Perdana Menteri Britain David Cameron.

Seramai kira-kira 700 peserta menghadiri persidangan, yang terdiri daripada kalangan pemain utama ruang maya dari seluruh dunia termasuk daripada kerajaan, industri dan masyarakat sivil.

Rais berkata begitu juga dengan aspek keselamatan yang perlu dibawa ke medan antarabangsa untuk mendapatkan satu mekanisme lebih jelas terutama berhubung soal risikan dan data penting yang dapat disekutukan bagi kerjasama pada masa depan.

Katanya persetujuan berhubung kerjasama dan jaringan antara kerajaan dan pihak swasta yang perlu diwujudkan turut dicapai.

"Dan kerajaan masing-masing tidak boleh hanya menentukan kerajaan mengetahui semua," katanya. Sehubungan itu, katanya beliau akan menganjurkan kepada pihak industri telekomunikasi di Malaysia supaya mewujudkan satu jaringan yang erat dengan pihak kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara berdaulat dan dapat menguatkuasakan undang-undang dengan sokongan antarabangsa.

Rais berkata sumbangan Malaysia dalam menangani keganasan dan masalah keselamatan siber turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. "Salah seorang penceramah yang juga pakar dari Russia telah menyebut tentang Impact Malaysia dan mereka juga menyatakan bahawa contoh yang diberikan oleh Impact merupakan sebahagian daripada pilihan kepada Budapest Convention pada tahun 2001.

"Tetapi sama ada perkara ini dapat dipopularkan lagi atau tidak, bergantung kepada usaha kemudian," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kaspersky Lab Eugene Kaspersky dalam ceramahnya menyentuh mengenai modul Impact Malaysia, iaitu satu konsep untuk tangani jenayah siber. -BERNAMA

Artikel Lain