suria

Husni: Inovasi Boleh Rancakkan Kuasa Ekonomi Negara

PETALING JAYA: Inovasi, yang dilihat sebagai sumber kuasa tambatan hati (softpower), mempunyai kebolehan untuk mengembangkan kuasa ekonomi negara dan kemahirannya, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata kuasa tambatan hati, yang ditakrifkan sebagai bujukan menerusi budaya popular dan disebarkan melalui ruang siber, akan menjadi pengaruh utama dan definisi baharu kuasa global.

"Melihat ke Timur, dalam lingkungan Asia, terdapat beberapa budaya dan cara kehidupan yang boleh berperanan sebagai kuasa tambatan hati. Malah, kuasa tambatan hati negara, boleh ditakrifkan sebagai jenama kebangsaan," kata beliau dalam ucapan khas di Forum Ekonomi China Dunia ketiga di sini.

Beliau berkata aliran budaya yang popular dari tanah-tanah ini bukan sahaja memanfaatkan negara pengeluar dari segi tukaran asing, tetapi juga, hampir tidak disedari, membina hubungan persahabatan dan kesetiaan yang mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun, jika tidakpun berdekad lamanya.

Dalam kes Malaysia, kuasa tambatan hatinya bergantung kepada inovasi, di mana tanpanya, budaya negara boleh "fossilise" sebagai legasi warisan.

Tanpa inovasi, kemampuan ekonomi untuk mendapat dan mengekalkan kuasa ekonomi adalah terhad. Inovasi memacu keusahawanan, keusahawanan memacu persaingan," kata beliau.

Ahmad Husni berkata dalam pembangunan kuasa tambatan hati Malaysia, kelebihan kompetitifnya yang paling hebat ialah percampuran pelbagai budaya.

Beliau berkata tiga kaum utama, Melayu, China dan India adalah jambatan kebudayaan, ke dan melangkaui Asia Tenggara, ke China dan India, seterusnya ke pasaran minoriti yang mahal dan kaya di Amerika Syarikat, Kanada, Australasia dan Eropah.

Beliau kemudiannya menyaksikan penyampaian anugerah seumur hidup kepada beberapa pemimpin perniagaan oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Para penerima ialah Dr John So (untuk kepimpinan dalam komuniti), Tan Sri Khoo Kay Peng (Perniagaan Global), Tan Sri Dr Jeffrey Cheah (Pendidikan), Ronnie Chan (Pembangunan Hartanah), Ho Kwon Ping (Pembangunan Resort), Jack Ma (Teknologi), Tan Sri Tiong Hiew King (Industri Media), Tan Sri Lee Oi Hian (Minyak Sawit), Tan Sri Vincent Tan (Kedermawanan Negara), Datuk Dr Vijay Eswaran (Kedermawanan Serantau) dan Tan Sri Tony Fernandes (Pengembaraan Udara). - BERNAMA

Artikel Lain