suria

Bekas Adun Teratai Dihukum Penjara 2 Tahun, Denda RM350,000

SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Yap Soo Sun dihukum penjara selama dua tahun selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membuat tuntutan berjumlah RM70,000 terhadap program yang tidak dijalankan, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Mat Ghani Abdullah yang membuat keputusan itu pada Khamis, juga memerintahkan Yap, 45, yang menjawat jawatan itu dari tahun 2004 hingga 2008 menjelaskan denda RM350,000 atau jika gagal dihukum penjara 35 bulan atas kesalahan tersebut.

Hukuman yang sama turut dijatuhkan terhadap pembantu khas Yap, Mohd Firdaus Abu Zarin, 43, yang didapati bersalah atas tujuh pertuduhan bersubahat dengan Yap untuk melakukan kesalahan tersebut.

Pada penghakimannya, Mat Ghani berkata, pembelaan Yap dan Mohd Firdaus yang mengemukakan 18 saksi bagi menyokong keterangan mereka telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi.

Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Sinti pula memanggil 28 saksi pendakwaan.

Yap yang bertanding atas tiket Barisan Nasional didakwa membuat tujuh tuntutan untuk Program Mesra Rakyat bagi majlis sambutan Tahun Baru China dan Thaipusam di Taman Putra, Taman Pandan Perdana, Taman Bukit Teratai dan Taman Bukit Cheras Hartmas.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 Mac 2008 di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, dekat sini dan borang permohonan pengeluaran peruntukan Adun tersebut diserahkan kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) pejabat terbabit, Zabidah Safar.

Mohd Firdaus yang juga Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Cheras Baru, dekat sini didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Yap untuk melakukan semua kesalahan itu di tempat dan pada masa yang sama.

Yap dan Mohd Firdaus dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 2 November 2009. Pendakwaaan dikendalikan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Afifuddin Mohd Afifi merayu agar mahkamah mempertimbangkan jasa yang telah dicurahkan Yap sepanjang menjadi Adun seperti sumbangan dalam pembinaan struktur jalan, lanskap dan sekolah di kawasan yang diwakilinya.

"Tertuduh banyak membantu warga miskin dan warga emas dan apa jua masalah yang dihadapi akan dibentangkan pada Dun Undangan Selangor untuk diselesaikan.

"Sepanjang menjadi Adun, tidak ada sebarang aduan diterima berhubung ketidakcekapan atau ketidakadilan telah dilakukan oleh tertuduh," katanya.

Tambah beliau, Yap yang merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Politik dari universiti di Rusia juga menanggung dua anak berusia 15 dan 16 tahun yang masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja dan ibu yang tua.

Selain itu, Afifuddin juga memberitahu, tertuduh telah dianugerahkan dengan Pingat Jasa Kebaktian pada tahun 2005 dan Anugerah Ahli Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 2007 serta hanya tinggal satu tahap sahaja sebelum dapat dianugerahkan dengan gelaran Datuk.

Berhubung Mohd Firdaus, Afifuddin memberitahu, lelaki tersebut merupakan graduan daripada universiti di Amerika Syarikat dan mengusahakan kedai makan dnegan pendapat RM500 sebulan yang digunakan untuk menanggung seorang anak berusia empat tahun, seorang isteri dan ibu.

Katanya, Mohd Firdaus juga pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Belia 4B di Kampung Cheras Baru sebelum bergiat aktif di dalam arena politik.

Muhammad dalam membalas hukuman itu memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai peringatan kepada masyarakat untuk tidak terjebak dalamkesalahan serupa.

"Kedua-dua tertuduh juga tidak menyatakan bahawa mereka telah insaf dan kesal dengan kesalahan yang dilakukan, meskipun telah disabitkan dengan tuduhan yang dihadapi," tambah Muhammad.

Pada prosiding sama, Mat Ghani seterusnya membenarkan permohonan Afifuddin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda ke atas kedua-dua tertuduh kerana pihaknya akan memfailkann rayuan di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan itu, Mat Ghani menetapkan agar jaminan Yap sebanyak RM25,000 dinaikkan kepada RM50,000 manakala jaminan Mohd Firdaus pada jumlah RM8,000 dipinda kepada RM20,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Mat Ghani juga membenarkan agar bon jaminan tersebut dikemukakan di mahkamah selewat-lewatnya pada tengah hari Jumaat, memandangkan kaunter jaminan di mahkamah telah ditutup pada pukul 4.30 petang.

Artikel Lain