suria

Tren Baru KTMB Beroperasi Sepenuhnya Jun Depan

BATU GAJAH: Kesemua 38 set Keretapi Unit Gandaan Elektrik (EMU) yang dipesan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dijangka beroperasi sepenuhnya pada Jun depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kesemuanya dijangka beroperasi secara berperingkat bermula bulan depan sehingga Jun 2012.

"Set pertama tren EMU ini telah tiba di sini pada 22 September lalu manakala set kedua tiba pada 22 Oktober," katanya pada sidang media selepas melawat Akademi Keretapi Malaysia, di sini, Rabu.

Katanya kesemua set yang mengandungi enam koc tersebut ditempah dari Zhuzhou Electric Locomotives (ZELC) China dengan kos RM1.89 bilion dan perjanjian pembelian dimeterai pada 19 Mei 2010.

"Dengan penggunaan koc baru itu nanti dijangka peningkatan pengguna perkhidmatan kepada 200,000 orang berbanding 95,000 pada masa ini.

"Apabila beroperasi kelak, KTMB dapat menjimatkan masa menunggu dari 30 minit kepada 10 minit. Koc-koc ini juga akan menjadi aset terbaru KTMB," katanya pada sidang media selepas melawat Akademi Keretapi Malaysia di sini.

Beliau berkata koc baru itu akan diguna untuk laluan Tanjung Malim, Perak ke Sungai Gadut, Senawang di Negeri Sembilan dan dari Batu Caves ke Pelabuhan Klang.

Katanya kedua-dua set yang telah tiba itu ditempatkan di Akademi KTMB untuk menjalani sesi pengujian dan pentauliahan sebelum dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah mendapatkan tren berkenaan adalah bagi meningkatkan kapasiti KTM Komuter dan selari dengan inisiatif bidang Keberhasilan Utama Negara untuk penambahbaikan sektor pengangkutan awam, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain