suria

Tiga Lelaki Ditahan, Syabu Bernilai RM3.9 Juta Dirampas

NILAI: Helah seorang lelaki rakyat India yang menyembunyikan dadah jenis syabu dalam karpet alas kaki tidak berjaya mengaburi pihak berkuasa apabila dia dan dua lelaki tempatan ditahan di hadapan sebuah hotel di ibu negara, tengah malam pada Selasa.

Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Liah Omar berkata ketika ditahan pada pukul 12.05 tengah malam, lelaki berumur 37 tahun itu sedang membuat urusan penyerahan sebuah beg yang mengandungi 15 keping karpet alas kaki kepada dua lelaki tempatan masing-masing berusia 55 dan 20 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bagasi yang di bawa lelaki rakyat India itu, kami menemui 15 bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu seberat 15.6 kg dengan anggaran nilai RM3.9 juta. Kami percaya dadah ini untuk pasaran tempatan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang digunakan lelaki itu, kami turut menemui dadah jenis syabu seberat tujuh gram bersama wang tunai RM10,000," katanya pada sidang media mengenai rampasan itu di sini, Rabu.

Liah berkata taktik yang digunakan oleh lelaki rakyat India itu berjaya dikesan pegawainya semasa pemeriksaan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebaik dia tiba dari Bangalore, India pada pukul 10.30 malam.

Beliau berkata ketika pemeriksaan imbasan terhadap bagasi yang dibawa lelaki itu, pihaknya mendapati ia mengandungi barang yang mencurigakan.

"Setelah diperiksa bagasi itu mengandungi karpet yang lebih berat berbanding karpet biasa dan dikatakan hendak diserah kepada individu di Kuala Lumpur.

"Susulan itu, pasukan kami telah mengatur tindakan dan mengekori lelaki ini dan menahannya bersama dua lelaki rakyat Malaysia ketika mereka melakukan urusan transaksi di lokasi berkenaan," katanya.

Liah berkata hasil pemeriksaan terhadap dokumen perjalanan lelaki itu mendapati dia telah melakukan perjalanan ke negara ini sebanyak tiga kali sejak Mei lepas.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain