suria

Seludup Migran: Polis Jejak Dua Lelaki

KANGAR: Polis Perlis sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes masing-masing membabitkan penyeludupan migran dan pecah rumah.

Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata mereka ialah Dzulkifley Othman, 40, yang beralamat di Kampung Wang Kelian, dan Mohd Shazani Hashim, 22, yang beralamat di No 263, Blok 14, Unit Tebu, Felda Chuping.

Dzulkifley dicari bagi membantu siasatan penyeludupan migran susulan penahanan seorang remaja berusia 15 tahun, yang membawa 10 pendatang tanpa izin dari Myanmar pada 18 Oktober lepas, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya kegiatan terbongkar selepas polis menahan kereta Proton Iswara yang dipandu remaja itu pada 12.30 tengah hari, dan polis menemui tujuh lelaki serta tiga perempuan termasuk seorang budak berusia 20 bulan di dalam kereta terbabit.

Siasatan awal mendapati remaja dari Kampung Wang Kelian berkenaan diupah kira-kira RM300 bagi setiap perjalanan membawa masuk pendatang tanpa izin, katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Dzulkifley boleh hubungi ASP Sarih Salleh di talian 019-3339490 dan ASP Ahmad Zaharuddin (017-4121881).

Sementara itu, Mohd Shazani pula dikehendaki bagi membantu siasatan kes kecurian di tiga buah setor di tapak pembinaan di Ulu Pauh dan Arau baru-baru ini.

Polis setakat ini telah menahan tujuh individu terdiri daripada tiga pengawal keselamatan, tiga warga Pakistan dan seorang pemborong barangan elektrik, katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai lelaki ini boleh hubungi Insp Azrin Omar di talian 013-5336641 dan Asisten Supritendan Sarih Salleh di talian 019-3339490, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain