suria

Rakyat Perlu Dibenar Akses Rekod ROS Berkaitan Parti Politik - Kamalanathan

KUALA LUMPUR: Orang awam perlu dibenar mengakses rekod Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkaitan kewangan yang telah diaudit parti politik, kata Anggota Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan.

Kamalanathan, wakil MIC dan kaum India dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, membuat cadangan itu pada mesyuarat kedua jawatankuasa berkenaan di Parlimen pada Selasa.

Ini merupakan satu daripada sembilan inisiatif yang dicadangkan serta menyentuh empat bidang utama berkaitan aspek pentadbiran, akses media, penambahbaikan legislatif dan pembaharuan struktur dalam usaha memperbaiki proses pilihan raya di negara ini, kata beliau dalam blognya, MY (Malaysian)View's.

Kamalanathan turut menyarankan agar perbelanjaan parti politik semasa pilihan raya diaudit juruaudit bebas, manakala dana negeri perlu dihadkan mengikut saiz, lokasi serta jumlah penduduk.

Selain itu, beliau berkata tempoh kempen sepatutnya dipanjangkan dan sistem undi pos ditambah baik.

Jawatankuasa itu ditubuhkan 3 Okt lepas bagi mencari jalan memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Ia dianggotai sembilan orang terdiri daripada lima Anggota Parlimen Barisan Nasional yang mewakili semua kaum utama, termasuk Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Pengerusi jawatankuasa berkenaan mewakili Sabah dan kaum Kadazan, Datuk Alexander Nanta Linggi (mewakili Sarawak dan kaum Iban), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (Umno dan wakil kaum Melayu) serta Tan Sri Dr Fong Chan Onn (MCA dan wakil kaum China).

Tiga Anggota Parlimen pembangkang ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Pengarah DAP Anthony Loke, manakala Bebas diwakili Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain